Monday, May 26, 2008

Bicara Buku (5): Ingin Menjadi Guru?



Judul Buku: Ingin Menjadi Guru?
Penulis: Dr. Ting Len Siong
Dr. Hj. Muhammad Sidek Said
Penerbit: Ilmu Media Trade
Bil. M/S: 270
Cetakan Pertama: 2007
Harga : RM 24.90 Sem M'sia / RM 26.90 Sabah & S'wak

Prakata

Kerjaya guru adalah wujud sejak manusia mula membaca dan menulis. Perubahan masa dan zaman mewarnai kerjaya ini selaras dengan tuntutan pendidikan yang tidak ada kesudahannya. Pendek kata selagi ada pelajar, maka di situ mesti ada guru. Dalam tempoh yang panjang, timbul dan tenggelamnya guru adalah seperti lilin membakar diri menerangi orang lain. Namun ini tidak pernah melemahkan semangat guru sejati untuk terus menaburkan bakti kepada anak-anak bangsa walau di mana juga dia bertugas.

Memang senang untuk menjadi guru. Mereka yang tidak layak dan tidak terlatih pun teringin menjadi guru. Para jurulatih Program Khidmat Negara yang kebanyakannya terdiri daripada anggota tentera menyuruh pelatih-pelatihnya memanggil mereka guru kerana alasannya mereka juga mengajar. Tetapi seorang pegawai keselamatan tidak pula dipanggil tentera walaupun mereka membawa senjata seperti seorang tentera. Inilah cabaran kepada profesion keguruan pada hari ini.

Dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan setelah menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi, maka kerjaya guru menjadi rebutan dalam kalangan siswazah profesional seperti jurutera, akauntan, peguam dan pengurusan. Hampir 100 ribu graduan pelbagai bidang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang ditawarkan di Institut Perguruan Guru (IPG) yang hanya mampu mengambil kira-kira lima ribu pelatih sahaja dalam tempoh setahun. Para lepasan SPM yang memperoleh keputusan yang cemerlang juga mula beralih kepada IPG kerana ingin memastikan kerjaya mereka terjamin.

Begitu ramai orang ingin menjadi guru, tetapi guru macam mana? Adakah guru yang hanya mengisi jawatan dan menghabiskan selama 25 hingga 30 tahun tanpa ada apa-apa sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan sistem pendidikan negara. Guru-guru seperti inilah yang merosakkan harapan generasi muda, masyarakat dan negara.

Buku ini ditulis untuk memberikan panduan kepada bakal guru dan guru untuk meningkatkan keprofesionalisme mereka dalam mengharungi kerjaya sebagai guru yang sebenar. Buku ini ditulis berdasarkan penerokaan ilmu serta pengalaman penulis yang pernah mengajar sebagai guru dan pensyarah. Selain itu, bahan-bahan rujukan dari luar negara digunakan untuk memantapkan lagi apa yang ingin disampaikan. Buku ini ditulis dalam 14 bab yang mencakupi berbagai-bagai ilmu untuk membantu meningkatkan ilmu keguruan kepada mereka yang benar-benar menjiwai kerjaya ini. Kandungan buku ini disusun agar memudahkan bakal guru dan guru-guru membacanya. Akhir kata, kami menghargai sokongan anda semua. Mudah-mudahan apa yang ditulis dalam buku ini dapat memberikan sesuatu yang berguna kepada anda semua.

Tin Leng Siong
Dr. Hj. Muhammad Sidek Said
Institut Perguruan Sultan Mizan,
Besut, Terengganu.

Ulasan Piz

Merujuk kepada prakata di atas sememangnya realiti yang diperkatakan wujud dan berlaku pada ketika ini. Contohnya apabila penulis mengatakan, ramai pelajar yang berijazah memohon KPLI disebabkan peluang kerja yang semakin sukar diperolehi dan ada juga yang ingin mengukuhkan dan memastikan kerjaya mereka terjamin untuk masa hadapan. Tapi bagi diri saya, tidak semua pelajar KPLI ini berfikiran begitu, mungkin ada yang betul-betul berminat untuk menjadi guru, pendidik bertujuan untuk mendidik pelajar dengan seikhlas mungkin. Mungkin sesetengah mereka pernah memohon untuk memasuki maktab-maktab dan ipt lain dalam bidang pendidikan tetapi gagal, sebaliknya mendapat kursus yang lain. Maka apabila mencuba memohon KPLI dan berjaya pula mendapatkan tawaran tersebut, mereka ini betul-betul berniat untuk mengabdikan diri di dalam perofesion perguruan ini...

Oleh itu, bagi saya buku ini amat sesuai dibaca oleh semua bakal guru dan guru sedia ada bagi menguasai kembali maksud profesion perguruan itu. Terdapat juga kandungan untuk pedagogi pendidikan serta psikologi dalam pendidikan yang menerangkan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai.

Piz: Ape pun kaedah, cara, formula yang digunakan dalam pembelajaran dan pendidikan seseorang guru itu... pokok utama yang kita perlu murnikan ialah IKHLAS... sebagaimana hadis nabi SAW.. "Innamala'malubinniat...": "Sesungguhnya segala amalan, perbuatan kita itu bermula dengan niat"! Kalo niat kita betul, ikhlas kerana Allah SWT, InsyaAllah dipermudahkan jalan kepada kita....
~Sedar tu piz....




0 comments: