Wednesday, May 28, 2008

FORMULA 7S

7S? Apa yang dimaksudkan 7S tu??

Formula 7S ini telah diberikan oleh seorang pensyarah saya, yang lebih dikenali dengan panggilan "Mama". Menurut Mama, seseorang guru itu perlu mengamalkan ke tujuh-tujuh S ini dalam mengharungi cabaran dunia pendidikan...

Okey, di sini saya ingin kongsikan bersama apa yang dikatakan dengan 7S tu. 7S ini ialah 7 perkara atau perkataan yang bermula dengan huruf S, yang perlu diamalkan oleh seorang yang bergelar GURU!


7S tersebut ialah:

1. Senyum

Seseorang guru itu perlulah sentiasa senyum semasa memasuki bilik darjah, walau dalam keadaan mana sekalipun. Walaupun guru tersebut mempunyai masalah, semasa masuk ke dalam kelas untuk mengajar, seseorang guru itu perlulah sentiasa menunjukkan air muka yang tenang dan ceria. Oleh itu cara yang terbaik untuk menimbulkan suasana ini ialah dengan senyuman, maka murid-murid pun dapat belajar dengan baik.<


2. Salam



S ke dua ialah ucapan Salam. Maksudnya, seseorang guru itu perlulah memulakan kelas dengan ucapan salam; Assalamualaikum kepada pelajar-pelajar. Secara beradabnya, orang yang datang itu dahulu perlu memberi salam, dan besar pahalanya bagi orang yang memberi salam dan menjawab salam ini. Untuk pelajar yang non-muslim, guru blh memberi salam dahulu, kemudian turut mengucapkan Selamat Sejahtera dan sebagainya yang sesuai. Dengan situasi ini juga pelajar akan turut sama mengikut gurunya dalam tatacara memberi salam ini.


3. Sapaan


Sapaan ini bermaksud kata-kata dan cara yang seseorang guru itu gunakan semasa menyapa iaitu bercakap dengan seseorang pelajar itu. Kalau boleh, seseorang guru itu perlulah menyapa pelajar-pelajar itu dengan lemah lembut dan sopan, contohnya memanggil ganti nama pelajar dengan betul bukan dengan panggilan kasar seperti "hoi"! Lebih elok kalau mereka kita panggil dengan nama penuh atau nama panggilannya yang elok. Begitu juga apabila pelajar ini ada melakukan kesalahan, seelok-eloknya guru itu menegur dengan cakapan yang baik dan memberi nasihat yang elok kepada mereka.


4. Sayangi


Seseorang guru itu perlulah mempunyai sifat penyayang, kerana semasa di sekolah guru hendaklah menganggap anak-anak murid itu sebagai anak-anak sendiri. Maka barulah akan memudahkan guru untuk mendidik dan mengajar pelajar-pelajar tersebut. Janganlah seseorang guru itu bersikap pilih kasih di antara mereka, sebagaimana guru yang tidak membezakan anak-anaknya sendiri begitu juga anak-anak murid ini di sekolah. Sesetengah daripada mereka ini amat memerlukan belaian kasih seorang ibubapa.


5. Sahabat / Silaturrahim

Begitu juga erti sahabat atau silaturrahim ini, guru seboleh-bolehnya mengelakkan dari menjadikan seseorang pelajar itu sebagai musuh, sebaliknya hendaklah menganggap mereka ini sebagai sahabat atau kawan. Sentiasa mendengar luahan dan masalah mereka, melayani mereka semasa di dalam dan di luar kelas, jangan wujudkan halangan antara guru dan pelajar dalam merapatkan hubungan silaturrahim sesama guru dan pelajar. Walaupun mereka ini lebih kecil dan tidak berpengalaman daripada guru itu, seboleh-bolehnya terima dan dengarlah segala pendapat dan pandangan dari mereka ini.


6. Sabar


Sabar merupakan antara perkara yang perlu diamalkan oleh seorang guru. Walaupun kita merasa amat geram dan marah dengan perangai pelajar-pelajar yang nakal ini, namun jangan sesekali guru mengambil tindakan yang terburu-buru. Sudah banyak peristiwa yang berlaku disebabkan guru itu hilang sikap sabarnya. Yang akan menanggung akibatnya adalah guru itu sendiri. Walau apa pun, sikap tegas dan sabar seorang guru itu perlu ada dalam mendidik dan mengajar pelajar-pelajar di sekolah.



7. Syukur


S yang terakhir ialah syukur. Apa pun yang seseorang guru itu lakukan jangan lupa sentiasalah bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan Allah ini. Syukur kerana dapat menjadi seorang guru yang dapat mendidik anak-anak kecil ini, bahkan kerjaya sebagai guru itu sendiri amat mulia sekali. Malah ada hadis yang mengatakan, apabila matinya seseorang anak adam itu, ia akan meninggalkan 3 perkara iaitu sedekah jariah, doa anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat inilah yang wajar direbut oleh guru untuk menyampaikan sebaik-baik ilmu kepada pelajar-pelajarnya.



piz: Bila diteliti ketujuh-tujuh S ini, sepatutnyalah perlu diamalkan dalam diri seseorang guru.
Agaknya piz, mu ada seme tak 7S tu? hmm kalo dpt satu pun dh kira cukup baik...



0 comments: