Friday, September 19, 2008

Penghujung Ramadhan Ini...


Ramadhan tahun ini akhirnya berada pada dua minggu terakhir sebelum Syawal menjengah tiba... Sempatkah aku menamatkan bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan kemuliaan ini dengan sebaik-baiknya? Entahlah hanya Penciptanya yang lebih mengetahui ke atas diri setiap hamba-hambanya. Allahuakbar... Walilhamdulillah!

Menyoroti kembali seminggu Ramadhan ini..., tetiba aku teringat peristiwa aku dan anak muridku di kelas 5E. Sebenarnya, kelas ini bukan kelas yang perlu aku mengajar, tetapi kebiasaannya apabila ketidakcukupan guru atau berlaku ketidakhadiran guru maka aku diamanahkan oleh guru penolong kanan untuk menggantikan guru matapelajaran Bahasa Melayu di kelas 5E yang sedang berkursus. Pada awalnya aku mengeluh juga, mengenangkan kelas yang perlu aku ganti ini adalah kelas kelima daripada 6 kelas, yang memang terkenal dengan kedegilan dan tidak menurut kata. Lagi-lagi aku yang hanya guru praktikum dan kekurangan "power" ini... Apa-apa pun bila aku fikir lagi sekali, ini merupakan cabaran yang perlu aku hadapi.

Tanpa bersedia bahan pengajaran untuk aku mengajar di kelas 5E ini, aku terus masuk ke kelas tersebut. Niat aku, cuma untuk mengganti kelas dan mungkin juga aku buat sesi membaca, sebab kelas tersebut masih terdapat sekurang-kurangnya 10 orang murid yang tidak tahu membaca. Walaupun mereka ini agak nakal dan suka membuat bising, tapi bila aku masuk je, mereka tetap memberi salam kepada aku, yakni mereka masih lagi menghormati guru-guru yang masuk ke kelas mereka ini. Selepas itu aku mengarahkan mereka mengeluarkan buku teks Bahasa Melayu, walaupun pelbagai helah dilakukan mereka untuk tidak mahu belajar, kerana guru mereka yang sebenar tiada, tapi aku tetap berkeras menyuruh mereka mengeluarkan buku teks.

Akhirnya hampir semua daripada mereka mengeluarkan buku teks tersebut. Selepas itu aku membelek buku tersebut dan tetiba aku mendapat idea untuk menyuruh mereka membaca dan menyanyikan satu teks boria. Nampaknya, mereka ini sangat gembira apabila aku menyuruh mereka membaca teks tersebut dan membacanya dengan nada boria. Untuk menarik minat mereka lagi aku membuat pertandingan dan membahagikannya kepada dua kumpulan. Kumpulan yang menang akan diberikan hadiah. Apalagi terus bersemangat mereka ini. Tetapi aku amat bersimpati kepada sebahagian daripada mereka ini yang masih belum mampu membaca dengan lancar dan baik, Bahkan ada yang masih dalam peringkat mengeja, walhal pada tahun depan mereka ini akan menghadapi peperiksaan UPSR. Entah bagaimana nasib mereka agaknya kelak, guru hanya mampu berusaha.

Setelah tamat pertandingan boria ini, aku yang kurang arif berkenaan boria ni pun tetiba je seronok mendengar mereka melagukan beramai-ramai. Bahagian yang menarik bila tiba sebutan "ewah", kuat pula mereka menyebutnya. Hehehe. Keputusannya kumpulan A memenangi pertandingan ini. Sebelum aku mengumumkan keputusan ini, aku sempat membantu murid-murid yang kurang dan tidak boleh membaca ini... Kesian betul aku kat mereka ini, mereka bkn membaca tapi menghafal. Bila aku tanya kalau buku komik baca macam mana? mereka cakap mereka memahami melalui gambaran lukisan sahaja. Sampai bila agaknya mereka ni hanya mampu melihat tanpa boleh membaca!

Kemudian, satu peristiwa yang menyayat hati aku bila aku dah selesai bagi hadiah pensil kt semua pemenang ni, tiba-tiba sorang murid ni datang jumpa aku, dia kata nak pergi ke kelas adik dia di tahun satu. Mula-mula aku tak benarkan, tapi bila dia cakap dia nak bagi hadiah pensil ni kat adik dia, sebab pensil adik dia dh pendek sangat, tinggal separuh jari je, aku pon terus angguk sahaja. Waa kesiannya kat budak-budak ni, teringat pulak aku cerita Iran yang top tu, "Children of Heaven", pasal abang ngan adik berkongsi kasut... sedih la. Masih ada rupanya kisah macam ni, dan yang aku terharu apabila murid aku ni semasa buat persembahan boria ni begitu bersungguh-sungguh terutama apabila sebut "ewah" tu... Aku masa tu memang terkaku sebentar!


piz: Bagi aku pengajaran 2M, iaitu menulis dan membaca masih belum mencapai sasaran. Sebab masih ramai murid-murid yang belum dapat mengeja dan membaca dengan baik. Inikan pula ditambah dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Entahla, bagaimana agaknya keputusan kajian PPSMI ini pada akhir tahun ini, hendak terus dilaksanakan atau dihentikan! Entahlah...

4 comments:

mohad said...

salam... selamat aidilfitri 2008

Eriyza said...

Pendekatan yg bagus Cikgu Piz.
Teruskan usaha. ;)

Alisa said...

selamat malam cikgu...

Alisa said...

saya nak makan banyak nanti sahur.. hehehehe....