Friday, November 27, 2009

10 Zulhijjah 1430H



Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin buat semua sahabat dan pengunjung blog ini dan Selamat melaksanakan ibadah korban...



Selamat menyambut hari ulang tahun perkahwinan kali pertama buat adikku Amilin dan adik ipar Zalina... Semoga berbahagia hingga akhirnya dan cepat-cepat menimang cahaya mata, ok!



Buat adikku Hakimin, Selamat Pengantin Baru, selamat melangkah ke alam baru, semoga dapat menjadi seorang suami dan ketua keluarga yang baik. Harapan kami moga Kimin dan C'Teh akan terus berbahagia hingga akhirnya... (fuh! habis satu tugas aku, malam ni kali terakhir aku menggosok baju adik aku nih, beres satu kerja, kalau tak duk menyusahkan aku sokmo!)

Untuk semua sahabat, dijemput ke Majlis Kesyukuran Menyambut Menantu di Mache pada 5 Disember 2009... Jemputla ke rumah, kalau kebetulan lalu kut Mache tu ye... :D



post signatureCuti-cuti sekolah aku pun sibuk juga la, dengan banjirnya, dengan rayanya, dengan "bekwoh"nya dengan budak-budak kecik 4, 5 orang kat rumah aku nih, geger gegok rumoh aku nih. Gapo-gapo pun cuti sekolah juga le yang best, budak cuti aku pun cuti, sesapa tak berkenaan jangan jeles la ye...

Tuesday, November 24, 2009

Tinggal Dulu Tegelam...

Akhirnya... tiba jua saat aku meninggalkan bumi Tegelam ni khasnya, dan negeri Sarawak ni... Setelah lebih 10 bulan aku menjadi perantau di daerah hulu bahagian Samarahan ini iaitu di kampung hulu sungai Tegelam, Simunjan aku kini kembali lagi ke semenanjung dan akan memulakan tugasku seperti sebelum ini di sebuah negeri kecil di selatan tanah air. Syukur alhamdulillah, permohonanku untuk mengajar di SABK diterima jua, cita-citaku sejak dahulu akhirnya tercapai jua ...

Namun, walau perasaanku yang tersangat gembira kerana dapat berpindah kembali ke semenanjung, hati dan perasaanku tetap disurami rasa sedih dan pilu kerana terpaksa meninggalkan anak-anak didikku yang masih kecil ini. Bahkan saat-saat pemergianku merupakan tempoh yang begitu sukar bagiku untuk melepasinya...

Sebelum meninggalkan bumi Tegelam ini, sempat aku mencoretkan saat-saat akhir aku di sini buat ingatanku di masa-masa akan datang...


Persediaan sebelum Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil SK Tegelam 2009



Seminggu sebelum majlis penyampaian hadiah dan sijil ni, anak-anak murid aku ni dari tahun 1 sehingga tahun 6 begitu bersemangat berlatih untuk persembahan semasa majlis tu nanti. Kumpulan budak-budak ni dibahagikan kepada 4 kumpulan, dan kebanyakan mereka mempersembahkan tarian moden dan tradisional. Begitu bersemangat sekali budak-budak nih, boleh dikatakan dari waktu sekolah, petang dan malam dorang ni sanggup datang berlatih. Kadang-kadang budak-budak ni yang datang ke rumah ingatkan cikgu-cikgu ni suruh memantau latihan dorang nih. Nasib baik aku tak terlibat dengan persembahan budak, tapi aku suka juga menyibuk masa budak-budak ni berlatih, seronok tengok dorang nih.



Jamuan Perpisahan



Jamuan perpisahan ni aku adakan untuk anak-anak murid aku nih. Saja makan-makan, potong kek, biasa la tu. Nak masak memasak, aku kurang kepakaran, takkan aku nak masak ikan sardin, sambal bilis ngan sup telur kentang kut, ni menu harian aku kat sini, best tau... hehe... Budak-budak ni seronok le, aku turutkan je kehendak dorang ni nak apa, tak kisah la. Sambil-sambil makan, sambil-sambil borak ngan budak-budak nih. Semua soalan yang dorang tanya, aku layan je... Bila kenangkan budak-budak nih, rasa sedih la pulak ye...


Air Pasang Surut


Hari-hari akhir aku kat sini, sempat pulak aku merasa dan melihat suasana air pasang sehingga melimpah ke kawasan sekolah. Dah lama juga kejadian air pasang sebegini tak terjadi, mungkin dah masuk musim tengkujuh begini air pasang dan benak boleh dikatakan setiap hari akan berlaku. Aku seronok juga bila air pasang nih, sebab kalau kita naik perahu, dreba perahu akan berhentikan perahu nih betul-betul tepi rumah kita, takdelah penat-penat nak mengangkut barang jauh dari jeti tu. Lagi-lagi kalau masa air surut, adusla mencabar juga la, sebab kena meniti di atas titi yang licin dengan selut dan agak curam tu sambil membawa barang-barang. Pergh memang mencabar sungguh la bagi aku, masa ni selipar ke kasut ke tak tau kat mana dah, lebih baik berkaki ayam je sambil pijak-pijak lumpur nih, seluar tu habis berselut macam tu je. Kadang-kadang tu kalau tersalah pijak tu boleh terjelepuk la. Setakat aku duk kat Tegelam nih belum pernah lagi aku terjatuh, tapi hampir-hampir jatuh tu biasalah...


Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil



Sepatutnya Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil SK Tegelam ni diadakan pada 18 November 2009 (Rabu), tetiba terpaksa ditunda pada 19 November 2009 (Khamis), sebab ada kematian kat kampung nih. Jadi kena berkabungla semua orang-orang kampung nih. Hari Khamis tu, aku awal-awal pagi dah bersedia, ye la aku kan dilantik menjadi mc pada hari tu, jadi kena la buat apa yang patut kat dewan tu. Aku releks je, tak rasa apa pun sebabnya aku lebih kepada memikirkan berkenaan kepulangan aku ke semenanjung juga pada hari tu, ada la sedikit barang-barang yang belum aku habis mengemas tu. Pulak tu anak-anak murid ni pagi-pagi dah datang serbu rumah cikgu-cikgu yang menjadi guru pembimbing persembahan dorang tu, termasuklah rumah aku nih, sebab "rumet" aku ni guru pembimbing bagi persembahan murid tahun 4 dan 5. Jadi dorang duk berhias, bermakeup semua lah. Aku tukang menyibuk tu dah semestinyalah. Inilah suasana dewan kat sekolah aku nih sebelum majlis bermula. "Simple" je, takdelah hebat macam sekolah-sekolah kat luar sana nun... Ni pun dah kira ok la nih.



Haha, inilah dia persembahan tarian moden dan tradisional yang dipersembahkan oleh anak-anak murid aku nih. Pandai budak-budak nih menari. Yang tahun 1, 2 dan 3 pun comel je duk menari tu. Tetamu, Ibubapa dan orang kampung pun terhibur melihat telatah anak-anak ini. Patutla masa aku belajar kat Sintok dulu, yang biasa pandai menari dan join geng tarian kat sana ni, biasa orang Sarawak, kebiasaannya lah, tu masa aku dulu-dulu lah. Nasib baik bukan aku jadi guru pembimbing untuk persembahan budak-budak nih, kalau tak ada la ni aku suruh dorang berdikir barat ke bernasyid ke... hehe...



Kelihatan ibubapa dan orang kampung yang datang untuk melihat anak-anak mereka menerima anugerah. Satu kampung datang tu, seronok. GB aku pun duk bercakap dengan penuh semangat. Habis je majlis hari tu, pakat-pakat berposing sakan le semua ikgu-cikgu kat Tegelam nih, biasa la acara wajib, aku lagi le, hari-hari terakhir kat sini semua gaya, dengan semua orang aku ambik gambar, rakam nanti senang bila-bila aku rasa teringat ke Tegelam nih aku boleh la tengok balik, lagi pun memang hobi aku dah, dorang semua dah tau. Tapi bila aku belek-belek balik gambar dan video rakaman nih, takde pulak aksi-aksi sedih aku kat sini, semua nampak macam gembira je... emmmm...

Satu bahagian yang aku tak boleh lupa, sebab semua orang gelak sakan kat aku nih, satu Tegelam tuu... Sebabnya masa aku berpantun penutup tu, dari pantun berbahasa melayu aku mintak anak murid aku tolong terjemahkan kut bahasa Iban. Semua dah betul, tapi yang dorang gelaknya sebab bunyi sebutan aku tu tak berapa betul, kurang tepatlah, jadi dorang satu dewan tu la duk ajar aku sebut betul-betul, aduslaaa malu juga aku, tapi takpe, aku seronok la juga sebab orang kampung ngan anak-anak murid aku ni begitu gembira bila aku cuba bercakap dan menggunakan bahasa Iban nih walaupun sedikit salah, sampaikan ada makcik sorang tu mintak aku duk lama sikit kat sini, baru boleh sebut dengan lancar... Yang penting aku dapat tepukan gemuruh dari semua, bila aku habis baca pantun ni dengan bunyi yang betul... hehe...



Tinggal Dulu Tegelam...

Apa-pun, tanggal 19 November 2009, Khamis, 11.30 pagi, aku akhirnya melangkah dan meniti titi serta menaiki perahu buat kali terakhir di Tegelam ini...


Tinggal jua anak-anak muridku, bangunan sekolah berdinding papan, berlantai kayu dan beratap zink ini... Tiada lagi kedengaran bunyi deruan enjin bot yang sering menganggu tidur pagi aku... Tiada lagi bunyi kicauan burung yang selalu geger di tiang-tiang letrik dan di tepi tong-tong air... Tiada lagi bunyi hempasan ombak kecil atau benak di sungai yang seluas mata memandang... Tiada lagi bunyi ketukan-ketukan dan suara halus di pintu rumahku tatkala anak-anak murid ku ini datang menyerbu ke rumahku pada saban waktu dan ketika... Tiada lagi curahan air hujan terus dari langit yang digunakan untuk kegunaan harian... Tiada lagi bunyi enjin generator yang selalu dimatikan enjinnya sebanyak 4 kali sehari, namun tetap disambung sampai ke pagi... Tiada lagi... dan tiada lagi...

Yang pasti, sepeninggalanku di Tegelam ini, pastinya terhimpun satu memori yang begitu sukar untuk aku lupakan, dan merupakan pengalaman pertama aku mengajar di sebuah sekolah pedalaman di hulu sungai Batang Sadong, Sarawak ini...


Keputusan UPSR 2009



Di dalam perjalanan aku keluar dari Tegelam untuk pergi ke airport Kuching, tetiba kami mendapat sms dari cikgu Syah yang menjadi wakil sekolahku untuk mengambil keputusan UPSR 2009 yang diumumkan pada hari Khamis, 19 November 2009. Alhamdulillah, syukur padaNya kerana tahun ini sekolah aku SK Tegelam ni akhirnya berjaya melangkah keluar dari senarai sekolah berprestasi rendah (SPR), apabila sekolah kami berjaya mendapat peratus kelulusan pada tahun ini sebanyak 100% berbanding pada tahun lepas 25%. Sungguh gembira rasanya, tak terluah kata-kata, apabila mendapat keputusan ini. Walaupun tidak seorang pun mendapat 5A, namun kejayaan lulus untuk semua matapelajaran bagi keenam-enam murid kami ini merupakan satu kejayaan yang begitu besar bagi kami semua. TAHNIAH... TAHNIAH dan TAHNIAH.

Senarai penuh keputusan UPSR 2009 SK Tegelam:

  1. Cantona ak Roben -- BM2 A, Math A, Sains A, BM1 B, BI B (3A 2B)
  2. Durina ak Situit -- BM2 A, Math A, BM1 B, Sains B, BI C (2A 1B 1C)
  3. Brandon ak David -- BM2 A, Math B, BM1 B, Sains B, BI C (1A, 3B, 1C)
  4. Olivia ak Kaleng -- BM2 A, Math B, BM1 B, Sains B, BI C (1A, 3B, 1C)
  5. Roslend Min ak Itam -- BM2 A, Math B, Sains B, BI B, BM1 C (1A, 3B, 1C)
  6. Ramoson ak Jugah -- BM1 B, BM2 B, Math B, Sains B, BI C (4B 1C)
TAHNIAH kepada semua anak murid aku di atas kejayaan ini. Syukur sangat sebab subjek aku Matematik, 2 orang dapat A dan 4 orang lagi semuanya dapat B. Lagi sekali TAHNIAH!



Cenderahati yang ditinggalkan buat kenang-kenangan warga SK Tegelam... Moga sentiasa beroleh kejayaan dan kecemerlangan. Untuk semua sahabat seTegelam, teruskanlah usaha anda untuk terus mendidik anak bangsa ke arah kecemerlangan, walaupun bukan cemerlang dari segi keputusan peperiksaan, tanamkanlah kecemerlangan ini kepada keupayaan pemahaman anak-anak ini untuk memahami, dan mengetahui apa yang dipelajari setiap masa... Teruskanlah...


Enti bisi' pegong di ladang,
Ulih aku numpang bebasu'
Enti bisi' umur ti panjai,
Ulih kita bertemu baru...


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi...


post signatureBerakhir jua kisah hidupku di Tegelam... Apapun banyak kisah dan kenangan suka duka aku di sini... macam yang gb aku cakap, jangan diingat kisah yang luka, kenang sahaja kisah yang suka dan baik-baik... Untuk akhirnya, semoga tempat baru ku nanti akan mencorak suasana yang lebih baik daripada yang sebelumnya... Bermula 1 Disember 2009, merupakan saat penghijrahan aku secara rasminya di tempat baru nanti. Sudah adat orang muda, merantau ke sana ke sini ini sudah menjadi kebiasaan, lebih-lebih lagi aku orang klate nih... agak-agaknya di mana titik akhirnya aku ini... Apa susah, tahun depan kalau rasa nak cuba lagi, isi lagi borang tukar tu... mana tau ada lagi rezeki, boleh lagi terselit nama aku nih, kelik ke mache ke pulak, ye tak! Adoila piz nih, memang gini sokmo. Huh!

Tinggal dulu Tegelam...

Thursday, November 12, 2009

Sajak buat semua muridku...

Sajak versi Iban dan Melayu ni aku tujukan khas buat semua murid aku di SK Tegelam, Simunjan dan SK Sri Wangi, Gua Musang, serta kepada mereka yang pernah menjadi anak didik aku sebelum ni (SK Mata Ayer, Pulai Chondong, Sekolah Arab Assaadah, Tanah Merah dan Sekolah Qiraati Al-Huda, Machang) semoga rajin-rajin baca buku, belajar dan terus belajar...


Rajin Macha

Dinga dinga kitai
Semua membiak sekula
Anang sekali-kali
Enda rajin macha

Macha mayuh bup
Kitai nambah penemu
Macha surat kabar
Nemu berita dunya

Engkatak dalam empurung
Nadai runding nyukung
Giga meh pemandai
Awakka penemu ngerembai

Dulu sigi pedis
Dudi kitai ngamai
Enti kitai pandai
Kitai idup menyana...



Rajin Membaca

Dengar-dengar kita
Semua murid sekolah
Jangan sekali-kali
Tidak mahu rajin membaca

Membaca banyak buku
Kita menambah ilmu
Membaca surat khabar
Tahu berita dunia

Seperti katak dalam tempurung
Tiada fikiran menyokong
Carilah kepandaian
Biarlah ilmu bertambah

Dahulu sangat susah
Nanti kita akan senang
Kalau kita pandai
Kita akan hidup senang...



post signatureHehe... faham dok bahasa Iban tu? mudah je nak faham dari loghat Sarawak nih. Iban dia nak dekat-dekat sama je ngan bahasa Melayu tapi aku susah juga nak tangkap, nak faham terutama bila dorang cakap la, kalau aku baca kat teks macam ni takpe, senang nak agak. Tetiba je aku berbahasa Iban ye, bukan ape antara sebabnya, aku nak belajar dan mengikut kehendak anak-anak murid aku kat Tegelam ni yang amat-amat berharap dan begitu gembira sangat bila aku berminat nak belajar bahasa dorang nih. Budak-budak ni selalu kata kat aku yang dorang dah faham loghat kelate aku nih, pastu bila lagi aku nak faham bahasa dorang nih? Ye la, aku belajar la nih, lagi pun rugi juga tak belajar sebab dah hujung-hujung dah aku duk kat sini, tak tau bila lagi aku nak belajarnya. Lagi pun minggu depan aku kena jadi mc untuk program hari anugerah kat sekolah aku nih. Dasat wei, kene bercakap depan mak, bapak, datuk, nenek dan tetamu yang semuanya Iban nih, yang memang tak menggunakan bahasa melayu dalam percakapan seharian dorang nih. Ahhh berat le aku, macam ayam ngan itik bercakap la jadinya... huhuhu.... Tapi aku rasa macam dah tau dah respond dorang nih, terutama anak-anak murid aku ni, mesti dorang tersengih nanti, sebab bunyi budu aku mesti takleh tinggal punye aaaa... huh! Tengok le nanti, sapa-sapa yang aku tengok senyum nampak gigi je aku gi sekeh sorang-sorang!!!

Sunday, November 8, 2009

Gembira dan Sedih

Di bulan November ni banyak pula kisah-kisah gembira dan sedih yang aku lalui. Kadang-kadang gembira, kemudian sedih pula. Dan kekadang sedih dahulu kemudiannya gembira... Gitulah hidup manusia yang sementara ini, bagaikan sebuah roda yang akan sentiasa berpusing-pusing kekadang di atas dan kekadang di bawah.

Apapun, mari kita tengok antara peristiwa gembira dan sedih yang aku rakamkan sepanjang beberapa hari ini...


Piala Malaysia 2009


Selepas 39 tahun menunggu, akhirnya negeri aku Kelantan yang sentiasa dekat di hati aku nih berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 menyaksikan perlawanan di antara Kelantan dan Negeri Sembilan. Aku yang terakhir kali menonton perlawanan bola sepak tanah air ni beberapa bulan yang lepas apabila Kelantan bertemu dengan Selangor untuk merebut Piala FA, namun Kelantan hanya mampu menjadi naib juara sahaja. Kali ini lagi sekali aku merasa gembira dan kembali menonton perlawanan bola sepak ni pada malam tadi disebabkan Kelantan memasuki perlawanan akhir merebut Piala Malaysia 2009 dan kali ini juga Kelantan lagi sekali mendapat naib juara apabila tewas kepada Negeri Sembilan dengan jaringan 1 berbalas 3. Di saat Kelantan gagal menjaringkan gol, perasaan aku begitu sedih sekali dan apatah lagi perasaan penonton yang seramai 65 ribu orang di stadium Bukit Jalil tu lagi lah merasa begitu sedih dan kecewa melihat permainan pasukan Kelantan yang begitu tidak menggembirakan penonton-penonton setianya. Namun di saat-saat terakhir, jaring gol Negeri Sembilan bolos jua, apabila Kelantan berjaya jua menghadiahkan satu gol untuk kami semua. Walaupun tetap gagal untuk membawa pulang Piala Malaysia tersebut, tapi dengan sepakan gol tersebut telah memberi sedikit kegembiraan kepada aku dan semua...

Apa pun tahniah diucapkan kepada pasukan Negeri Sembilan sebagai juara Piala Malaysia dan Kelantan selaku naib juara... Tahniah buat semua...


Kelas Malam


Bermula dari bulan Januari 2009 sehingga awal bulan November 2009, kami di Tegelam sentiasa bergilir-gilir membuat kelas malam untuk semua murid-murid di Tegelam nih. Akhirnya tanggungjawab aku untuk melaksanakan kelas malam ini tamat jua. Aku juga merasa sungguh gembira melihat kesungguhan dan semangat anak-anak murid aku ni untuk datang ke sekolah membuat latihan dan belajar setiap hari dari pukul 7 malam sehingga 8 malam. Walaupun mereka ini serba kekurangan, dengan elektrik dari generator yang akan ditutup setiap kali pada waktu malam di rumah panjang, jadi peluang yang diberikan untuk mereka datang belajar di sekolah diambil kesempatan sepenuhnya untuk datang ke sekolah. Tapi aku tetap juga merasa sedih apabila memikirkan keadaan mereka ini, sampai bilakah anak-anak kecil ini akan hidup di dalam keadaan serba kekurangan begini. Entah bila agaknya kerajaan yang bertanggungjawab akan melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat bumiputera ini. Walaupun negeri ini merupakan negeri pengeluar minyak namun banyak kekurangan yang gagal ditampung oleh pemerintah ini. Sampai bila agaknya ye...


Peperiksaan Akhir Tahun 2009


Bermula dari 3 hingga 6 November 2009, semua murid aku seramai 18 orang kat sekolah ni telah menduduki peperiksaan akhir tahun 2009. Peperiksaan ini diadakan untuk melihat penguasaan, kebolehan dan pemahaman murid-murid ini terhadap pembelajaran dan pendidikan (P & P) yang diajar oleh guru-guru dapat difahami dengan sebaik-baiknya oleh mereka ini. Aku juga merasa gembira dengan peperiksaan ini, kerana soalan-soalan peperiksaan berjaya aku siapkan dan dijawab oleh murid-murid aku dengan sebaik-baiknya. Aku pastinya akan merasa sedih jika aku gagal memberi pemahaman yang baik kepada anak-anak didik aku nih.


Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2009


Setelah tamat peperiksaan untuk matapelajaran Matematik bagi kelas darjah 3, 4 , 5 dan 6 yang di bawah tanggungjawab aku, terus aku menanda jawapan. Alhamdulillah, syukur sangat kerana kesemua murid aku berjaya dan lulus dengan baik. Seorang daripada mereka mendapat gred A. Aku betul-betul merasa sungguh gembira. Dan perasaan aku tetiba merasa sedih apabila melihat keputusan seorang anak muridku yang agak lemah untuk semua matapelajaran termasuk Matematik ni dan sebelum ni kalau aku buat ujian ke latihan ke kebiasaannya dia akan gagal. Namun pada hari ini buat pertama kalinya anak murid aku ni lulus matematik nih. Ya Allah gembiranya aku dan aku rasa begitu terharu sekali. Sebelum peperiksaan, aku sebenarnya membuat latihan gerak gempur untuk mereka nih. Setiap kali lepas menyemak, kami pasti akan berbincang dan membuat pembetulan bagi kesalahan yang dibuat. Dan aku juga sempat membuat kuiz matematik seminggu terakhir sebelum peperiksaan. Bagi budak yang bermasalah seperti anak murid aku ni, kalau kita bagi la apa-apa denda yang teruk sekali pun dia agak sukar untuk berubah, sebab dah menjadi kebiasaan baginya. Jadi kita kena tukar cara yang keras kepada cara yang lebih lembut. Sentiasa memberi dorongan dan kata-kata perangsang kepada mereka ini. InsyaAllah pastinya akan terdetik jua di hati mereka ni untuk lulus dan berjaya sebagaimana kawan-kawannya yang lain.



Keputusan Permohonan Pertukaran



6 November 2009, Jumaat pastinya terpahat di ingatan aku ni. Hari tersebut merupakan satu hari yang begitu menggembirakan aku yang selama ini sentiasa merasa sedih kerana dihantar mengajar ke kawasan pedalaman yang begitu terasing ini. Alhamdulillah percubaan pertama aku untuk memohon pertukaran antara negeri akhirnya berjaya jua. Tiada kata-kata yang mampu terluah di bibirku pada ketika itu hanya lafaz kata syukur dan beberapa titis air hangat gugur membasahi pipi aku kerana keputusan yang tak disangka-sangka ini. Bayangkanlah, aku yang hanya baru di"posting"kan kat sini tak sampai setahun, dan aku mengisi borang e-gTukar ni pun pada hari terakhir permohonan ini akan ditutup. Namun sebagaimana yang kita ketahui inilah yang dipanggil "rezeki" yang memang kita tak ketahui... Alhamdulillah syukur sangat... akhirnya permintaan aku di hujung-hujung doaku itu diperkenankan jua oleh Mu... Terimakasih juga buat semua yang sudi mendoakan aku selama ini...

Namun, dalam aku merasa gembira begini... perasaan sedih dan pilu kini begitu terasa sekali bilamana aku melihat dan memikirkan akan keadaan anak-anak muridku ini. Walaupun tidak sampai setahun aku di bumi Tegelam, Simunjan ini, tetapi rasa kasih, rasa sayang dan rasa suka aku kepada mereka ini menyebabkan aku merasa sedikit berat hati untuk meninggalkan mereka ini. Entahlah... sepanjang hari ini sambil aku mengemas barang-barang aku ini, fikiran aku tetap teringat akan bocah-bocah kecil ini, bagaimana aku hendak memberitahu akan pulangnya aku ke semenanjung nanti pastinya tidak akan kembali lagi ke sini. Walhal mereka ini bila sebelum ini aku bergurau yang aku akan pindah sekolah pun dorang dah menunjukkan rasa tidak gembira, bahkan ada yang terus merajuk tidak bercakap denganku... Ahhhh entahlah, bagaimana agaknya. Yang budak-budak kecil tahun 1 dan 2 je asal jumpa aku je duk bertanya bila aku nak mengajar dorang lagi... aduslaaa bagaimana ye... Ni yang aku tak suka nak fikir nih. Apapun aku harap anak-anak murid aku ni pastinya akan mendapat guru-guru yang lebih baik dari aku yang banyak suka bermain dari mengajar ni!

post signatureItulah di antara cerita gembira dan sedih aku sepanjang minggu ini... Pastinya sebagai manusia biasa semestinya tiada dalam hidupnya cerita gembira sahaja dan tiada juga cerita sedih sahaja. Allah takkan menzalimi hambanya sebegitu, melainkan hambanya sendiri yang tidak ingin mengubah keadaan dirinya sendiri, yang hanya mengharap tanpa berusaha untuk mendapatkan sesebuah kegembiraan itu...

(huhu, apehal aku berjiwo pelik pagi-pagi buto nih, ai takkan sebab klate tok mene aku jadi gini plok! hihihi... )


Tuesday, November 3, 2009

Lagi-lagi Peperiksaan





Salam peperiksaan untuk semua murid dan semua pelajar di sekolah serta di pusat pengajian tinggi... Selamat Berjaya!

Buat anak-anak muridku di Tegelam yang akan menduduki peperiksaan
bermula pada 3 November 2009 dan di Gua Musang, selamat menduduki peperiksaan akhir tahun 2009. Ingat semua, buat sehabis baik! (Ore klate kato buat habih gheng!).


Juga untuk adik-adik aku, Thaqif yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan temuduga DQ, wak molek deh, juga Zakuan, Syihan dan Munsif. Malas nok janji gapo eh, jawab perekso biar ikhlas, jange duk harap nok gapo2 plok. Tunjuk dulu kerajinan, kemampuan ngan usaha kita tuh. Jangan duk harap bendo mari depe kito jah. Gapo-gapo pon, solat hajat tu wak sokmo la, jange duk harap ko mi nga abah jah, wak sokmo, mitok nga Allah pulok, keno yakin sokmo.

Baco sokmo doa nih:

"Allahumma yassir wala tu'assir..."
(Ya Allah ya tuhanku permudahkanlah dan jangan menyusahkan...")

post signatureAlhamdulillah, syukur siap juga kertas soalan periksa budak-budak Tegelam nih. Pergh lama betul aku buat, ada dekat seminggu. Jangan main-main wei, banyak nak kena tapis, nak kumpul soalan, nak pilih-pilih soalan, baru boleh ambil yang sesuai dengan tahap budak-budak nih. Tapi aku rasa banyak main kut lain sekali, hehe. Apapun aku harap, ppd dan jpn negeri boleh bekerjasama membuat dan menyelaraskan soalan peperiksaan untuk satu Sarawak nih, sebagaimana yang dibuat di negeri-negeri lain untuk masa-masa yang akan datang.

Saturday, October 31, 2009

Bicara Buku (8): Seorang Tua di Kaki Gunung


Judul Buku: Seorang Tua di Kaki Gunung
Penulis: Azizi Hj. Abdullah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia
Bil. M/S: 165
Cetakan Pertama: 1982



Sinopsis:

Novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini, yang telah mendapat tempat kedua dalam sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II(1981), memaparkan persoalan jurang generasi. Melalui watak Tukya, pengarang cuba memperlihatkan sikap golongan tua yang tetap keras dalam usahanya mempertahankan pendiriannya terjadap corak kehidupan tradisi, yang amat rapat dengan alam semulajadi di kaki Gunung Bongsu, dan penuh pantang larang dalam membuat sesuatu kerja kerana dia menganggap kerja itu sangat mulia dan patut dihormati. Kekuatan utama novel ini terserlah pada aspek perwatakan dan latarnya. Pengarang telah memperlihatkan usaha yang sungguh-sungguh dalam melukiskan gambaran alam hutan untuk menimbulkan perhubungan erat dan selari antara usia Tukya dengan kehidupan tradisi yang dianggap murni. Tukya adalah lambang seorang manusia yang gigih dalam usaha mempertahankan pendiriannya hingga ke akhir hayat.


Ulasan Piz:

Walaupun kononnya pada minggu ni aku agak sibuk disebabkan kena menyediakan soalan peperiksaan akhir untuk murid sekolah aku ini, sempat juga aku menamatkan sebuah novel yang begitu menyentuh perasaan aku ni, novel karya Azizi Haji Abdullah, Seorang Tua di kaki Gunung yang begitu popular dari dahulu sehingga kini (?). Bahkan novel ini turut dijadikan salah satu teks yang wajib dibaca oleh pelajar tingkatan 5 aliran sastera yang dimasukkan sebagai silibus mata pelajaran Kesasteraan Melayu. Walaupun aku bukan pelajar aliran Sastera, tapi minat aku terhadap novel-novel sebegini membuatkan aku membaca kesemua buku tersebut, seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Kelapa Nan Sebatang, Panji Samarang dan lain-lain novel.

Merujuk kepada novel ini, walaupun telah beberapa kali aku membacanya perasaan sedih, gerun, seriau dan pelbagai perasaan tetap timbul, terutamanya pada bab akhir saat Nek Besah disuruh tukya memotong kakinya yang ditimpa batang pokok cengal menggunakan gergaji pokok amat menggerunkan sungguh menyebabkan aku melangkau muka surat tersebut, tak sanggup aku nak membaca baris-baris ayat tersebut. Nasib baik Nek Besah je yang pengsan, dah le aku ni jenis mabuk darah tak pasal-pasal ngan aku sekali boleh pengsan. Novel ni sebenarnya sudah berbulan duk ngan aku nih, aku ambil buku ni kat rumah aku kat Mache masa cuti bulan 5 rasanya, ni baru aku sempat membacanya. Dahle novel ni dah uzur, kulit pun dah berwarna kuning, ada nilai sentimental tu, kalau orang lain ni tak tau la sanggup ke tak baca buku nih.

Aku mula mengenali cerita ini melalui drama bertajuk "Seorang Tua di Kaki Gunung " yang pernah ditayangkan di kaca tv ketika aku masih di bangku sekolah lagi. Aku ingat pelakon yang melakonkan watak tukya ni ialah arwah Baharudin Omar, kalau tak silap aku la. Sebab watak Tukya ni begitu sesuai dengan lakonan yang ditunjukkan oleh arwah. Masa aku tengok kat tv pun aku tak menonton juga bahagian kaki Tukya tu dipotong, tak sanggup aku nak tengok. Macam adik aku cakap la, dia kata sekali je dia sanggup baca novel nih, sebab tak sanggup nak baca bab kaki Tukya ni dipotongla. Adoila cikgu Azizi ni sanggup sungguh dia menulis sampai begitu sekali, sampaikan pembaca seperti aku nih pun terkesan.

Walaupun watak Tukya sebagai seorang suami, bapa, mertua dan datuk yang cukup tegas, garang, keras hati, gigih, berpendirian tapi tetap ada juga sifat kasih sebagai seorang datuk kepada dua orang cucunya. Begitu menyayangi Lamin, anak lelaki bongsu Fikri iaitu anak tunggal Tukya dan Nek Besah. Tukya sanggup meredah Gunung Bongsu bersama Lamin untuk memberi pengajaran kepada Lamin, untuk mendedahkan dunia hutan kepada Lamin agar tidak mudah lupa asal usul mereka sebagaimana rasa kecewa tukya kepada Fikri yang sudah menjadi orang besar di bandaraya sana, yang tidak sanggup untuk bersusah payah bersamanya di kaki gunung itu. Walhal, dari hasil keringat tukya mencari hasil hutan seperti rotan, madu lebah dan berhuma itulah yang digunakan untuk memberi pendidikan sehingga Fikri berjaya sebagaimana yang dikecapinya itu.

Pengarang novel ini juga tidak lupa menyelitkan unsur keagamaan apabila merujuk kepada solat yang dilakukan oleh Tukya walaupun berada jauh di dalam hutan dengan mengambil wudhuk menggunakan kaedah tayammum, dan sentiasa mendirikan solat subuh secara berjamaah bersama Nek Besah serta berjamaah di surau. Kehidupan harmoni dan tolong menolong di antara penduduk kampung juga turut diceritakan apabila Tukya jatuh sakit akibat diserang ribuan tebuan semasa Tukya bersama cucunya Lamin mengambil madu di sebatang pokok petai di dalam hutan tersebut, orang kampung pakat-pakat membawa Tukya ke hospital walaupun di tengah malam. Begitu juga semasa Tukya ditimpa tragedi ditimpa batang cengal yang mengakibatkan kematiannya, orang kampung jugala bekerjasama membawa jenazah Tukya keluar dari hutan tersebut.

Begitulah kisah Seorang Tua di kaki Gunung ini, sehingga matipun Tukya dan Nek Besah tidak akan keluar dari kaki Gunung Bongsu ini. Prinsip mereka, hidup dan mati biarlah di kaki gunung ini. Walaupun berkali-kali Fikri dan cucu-cucunya mengajak mereka berdua tinggal bersama di luar sana, tapi tidak pernah disanggup walau sekali pun. Bukan Fikri tidak menyayangi mereka, tetapi disebabkan kedegilan mereka berdua dan kesibukan Fikri menyebabkan Fikri berasa kecewa dengan tindakan kedua orang tuanya ini. Tetapi sebagai seorang anak tunggal, sepatutnya Fikri perlu memahami jiwa orang tuanya lebih-lebih lagi Tukya yang sudah berabad lamanya tinggal di kaki gunung ini.

Cuma yang menjadikan saya tertanya-tanya sampaikan saat ini ialah kelakuan Fikri dan isterinya Fatimah yang dinyatakan pada muka surat terakhir novel ini, sebagaimana ayat yang di"quote"kan ini:
"... Kepada Fatimah yang masih di dapur, Fikri membisikkan sesuatu. Fatimah sekejap-sekejap mengangguk dan sekejap-sekejap menggeleng.

Malam semakin malam. Burung hantu semakin galak bersahutan. Cengkerik yang mersik bunyinya tadi tidak pula berbunyi. Seekor keluang terdengar mengepak di atas bumbung.

Fikri berbelah bagi sama ada mahu pulang esok. Suruhan pulang tadinya seperti mencabar kasih sayang seorang anak. Bagaimana jika dia pulang sedangkan di kaki gunung itu masih ada seorang tua yang keras hati, yang usianya sangat-sangat dicurigai?

Dan esok sebenarnya esok. Penentuannya esok. ..."
Apakah maksud perenggan ini? Adakah kemungkinan Fikri akan meninggalkan Lamin, anaknya untuk menemani maknya iaitu Nek Besah? ataupun bagaimana? Entahla, aku tak tau apa keputusan Fikri keesokkannya.

Oleh itu, saya tinggalkan perenggan di atas ni untuk difikirkan bersama. Mungkin kepada pembaca dan sahabat yang mengetahui makna yang tersirat dapat memberikan komen anda, supaya dapat membantu saya merungkaikan isi makna perenggan ini...


post signatureTu dia piz, nak kena mengaji lagi makna-makna mendalam nih, baru boleh mudah faham ayat-ayat sasterawan gini nih. Agak-agak kalau dulu aku ambik sastera dapat lulus ke tak a? Haha... sib baik le sekolah aku dulu tak boleh pilih memilih aliran, kena wajib ambik aliran satu tu je. Takde la aku pening nak jawab soalan tersurat-tersirat nih. Apepun aku suka baca karya Sasterawan Negara Azizi Hj. Abdullah ni. Buku terakhir aku baca novel bertajuk "Tokcai". Aku tak sempat baca habis lagi buku tu, duk kat mana tak tau buku tu, kalau takde kat rumah aku kat Mache tu, mesti ada kat kroni-kroni aku yang minat spesen ngan aku tu. Takpe, cuti panjang nanti aku baca semula la. Ada juga orang kata baca buku melayu lebih-lebih lagi karya sasterawan macam ni takde nilai ape pun, tak de standard la, memberatkan fikiran la, ape-ape la. Bagi aku lantak korang le nak kate ape, kalau takde buku-buku macam ni, tak tau la bangsa melayu ni nak cari nilai jati diri melayu yang sebenarnya tu kat mana. Takkan nak rujuk kepada buku-buku popular yang berunsur cintan-cintun tu kut! Dan aku rasa kecewa amat bilamana untuk beberapa tahun lagi (aku tak pasti cadangan ke ape?) buku karya penulis remaja popular Ahadiat Akashah akan dijadikan buku teks kepada pelajar aliran sastera menggantikan buku-buku sebelum ini. Emmm entahle, bagaimana penal pemilih boleh memilih karya sebegini, walhal masih banyak buku-buku yang lebih berunsur pendidikan boleh dijadikan teks sastera. Melayu... melayu...

Sunday, October 25, 2009

Aktiviti Selepas UPSR 2009

Setelah sebulan peperiksaan UPSR tahun 6 di seluruh negara kita ni berlalu, pihak sekolah melalui guru-guru akan menyediakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan murid-murid tahun 6 ni. Sekolah aku kat Tegelam ni pun sama jugak, semua guru yang mengajar tahun 6 untuk semua matapelajaran dikehendaki menyediakan aktiviti yang bermanfaat untuk murid-murid nih. Bukan budak-budak je yang seronok, aku pun seronok juga dengan aktiviti yang dilaksanakan ni.


Ni antara aktiviti yang dilaksanakan untuk masa pengajaran aku. Antaranya aku mengadakan permainan Jenga ni, seronok juga main jenga nih, kena cepat mencongak matematik la. Tapi biasa akula yang kalah, hampes betul asyik aku je yang kena jenga nih, tak best betul. Lepas tu aku ajar budak-budak ni asas komputer. Biar dorang kenal apa-apa yang berkaitan ngan komputer ni. Budak berenam ni seronok belajar, tapi sayang sungguh, pc banyak kat dalam bilik IT nih, tapi hanya satu yang boleh pakai, yang lain terpaksa guna laptop ppsmi dan laptop aku je la. PC lain banyak tersadai macam tu je, nasib lah.


Selepas tu aku ajar pulak budak-budak ni asas menulis dan membaca jawi. Nampak mereka seronok dan teruja je nak belajar jawi nih. Dorang ni walau tak pernah belajar dan menulis jawi nih, tapi cepat belajar, tulisan pun cantik je. Aku ajar sekali je, dorang macam dah boleh buat latihan yang aku suruh tu. Tapi ketika nak menyambung huruf tu agak susah la sikit, kena biasakan dorang dengan tulisan jawi ni dulu baru dorang boleh cepat menulis dengan betul. Yang lawaknye, budak-budak ni siap panggil aku "ustaz", haha... si Brandon tu tanya aku betul ke tak panggilan untuk aku ni "ustaz"? Adoi la, terpaksa la aku terangkan beza ustaz dengan ustazah nih. Ye la dorang ni semua kristian, jadi tak pernah ada pelajaran jqaf la kat sekolah aku ni.



Ni pula antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh guru-guru tahun 6 yang lain. Ada yang buat kraftangan, menonton cerita, bermain batu seremban, belajar mengenal internet, bermain bola tampar, berlari kat padang, bercucuk-tanam, buat kuiz, sudoku dan macam-macam lagi.

Seronok la jadi budak-budak ni ye, ye la bagi peluang kat dorang, sebelum ni dari bulan Januari sampai hari periksa pun duk suruh dorang belajar betul-betul, bagi soalan latihan bertimbun-timbun, buat ujian setiap hari, ha sekarang ni bagi la dorang main-main sikit. Tapi jangan pulak langsung tinggalkan pelajaran tu sebab nanti kat sekolah aku ni bermula 2 hingga 4 November ada peperiksaan akhir tahun pulak. Budak-budak tahun 6 ni pun terlibat sama jugak, nanti keputusan peperiksaan ni dan UPSR akan digunakan untuk kemasukan ke sekolah menegah nanti. Tak lama lagi dah nak tau keputusan UPSR ni, harap-harap semua anak murid aku berenam ni dapat lulus dengan cemerlang. Itu la, kejayaan anak-anak murid, memberikan kegembiraan bukan sedikit kepada guru-guru ni.

Kadang-kadang risau juga aku memikirkan anak-anak murid sulong aku nih, macam mana la keputusan matematik dorang nanti. Harapan aku memang nak semua anak murid aku lulus la. Sebab dari sini aku dapat menilai pengajaran aku kat dorang ni ok ke tak ok. Emmm gitula. Tapi aku bersyukur sangat, sebab keenam-enam mereka ni berjanji nak meneruskan pelajaran mereka ke peringkat sekolah menengah nun di pekan Simunjan. Biasa sekolah menengah tak ada kat kawasan pedalaman ni, jadi terpaksalah dorang keluar dari hutan sungai tegelam ni ke pekan. Kalau dapat kelulusan yang cemerlang, boleh sambung belajar ke Kuching. Dua tahun lepas kakak kepada Olivia anak murid aku nih berjaya mendapat 5A dan sekarang berada di sekolah berasrama penuh di Kuching. Kali ni pun harapan kami juga biar ada la wakil dari mereka berenam ni dapat melanjutkan kemana-mana sekolah berasrama penuh.

Tapi bagi aku tak kisahlah sambung kat mana-mana sekolah pun asalkan ada minat nak belajar tu yang penting. Sebab ada juga budak-budak ni selepas tamat tahun 6 dah tak mahu sambung ke sekolah menengah. Kalau yang lelaki ada yang kerja menangkap ikan, udang, bertukang rumah, membuat huma dan sebagainya. Manakala yang perempuan pulak, seawal umur 14 tahun dah berkahwin. Aku kalau boleh nak dorang belajar sehingga tamat SPM pun dah kira ok sangat. Tapi kalau boleh dapat sambung pengajian ke menara gading lagi manis.


post signatureAku harap janji dan ikrar budak-budak berenam ni dengan aku sebelum ni akan terus terpahat di fikiran mereka nih. Kalau tak, aku sekeh je sensorang nih. Tu memang ada dalam akujanji aku ngan budak-budak nih. Semoga Cantona, Brandon, Ramoson, Olivia, Roslend dan Durina akan beroleh kejayaan dan lulus dengan jayanya...

Psstt... korang kalau lulus cemerlang tu jangan duk mintak hadiah terlampau pulak dari cikgu nih, kalau nak hadiah best mintak ngan pm 1mesia nun ;)